Sunday 16 December 2012

Ditipu Sertai Pelaburan Dinar Emas




KUALA LUMPUR; Angan-angannya untuk mendapat RM71,000 dengan modal pusingan RM500 bertukar menjadi pengalaman pahit buat seorang lelaki yang terpedaya dengan pujukan saudaranya sendiri untuk mencuba pelaburan dinar emas.
Pulangan lumayan itu ditawarkan kepadanya ketika dia baru mengeluarkan wang simpanannya dua bulan lalu dan ahli keluarganya itu menyarankan ia dilaburkan dalam skim berkenaan dengan mendapat mata wang Iraq sebagai jaminan.
Bagaimanapun mangsa yang bekerja sendiri tertipu dengan pelawaan itu apabila hanya menerima RM52 sebagai keuntungan pelaburan berbanding puluhan ribu dijanjikan sebelum ini.
“Saya dimaklumkan lelaki itu dengan menyertai pelaburan ini saya akan mendapat untung. Mulanya saya tidak percaya, tapi dia terus memujuk dan meyakinkan isteri saya mengenai hasil berganda yang kami akan peroleh,” katanya ketika membuat aduan di Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.
Mahu dikenali sebagai Azri, 48, dia kemudian menerima sepucuk sampul berisi beberapa keping mata wang Iraq sebelum dihubungi lelaki itu yang memaklumkan ia adalah keuntungan pertama pelaburan terbabit.
“Saya kemudian ke pengurup wang berhampiran rumah untuk menukar duit itu dan dimaklumkan ia tidak sah diperlakukan kerana ia digunakan pada zaman pemerintahan Presiden Saddam Hussein bernilai RM52 saja.
“Saya maklumkan kepada lelaki itu dan dia bukan saja tidak mahu membayar kembali wang saya, malah meminta saya memasukkan RM1,000 untuk menggandakan pulangan,” katanya.
Sementara itu Ketua Unit berkenaan, Saharudin Bakar berkata, pihaknya mendapati ia menyamai beberapa kes penipuan membabitkan pelaburan sebelum ini.
Katanya, yang berbeza hanyalah mata wang yang digunakan sebagai medium pelaburan berbanding emas atau sebagainya. -METRO

No comments :

Post a Comment