Thursday 27 December 2012

Wanita Rugi RM1,000 Setelah Rantai Emas Diragut


KOTA KINABALU: Kegembiraan sepasang kekasih meraikan Krismas di sebuah pusat hiburan berhampiran Luyang, di sini, bertukar episod malang setelah menjadi mangsa ragut seorang lelaki bermotosikal dalam satu kejadian awal pagi Selasa lepas.
Insiden yang berlaku sekitar jam 4 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 20an bersama teman lelakinya baru sahaja keluar dari pusat hiburan itu sebelum didatangi oleh seorang lelaki bermotosikal.
Mangsa dikatakan kerugian kira-kira RM1,000 setelah rantai emas miliknya dilarikan oleh lelaki terbabit.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata suspek dikatakan telah berjaya meragut rantai emas milik mangsa sebelum bertindak melarikan diri dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, pasangan terbabit berjaya mengecam nombor pendaftaran motosikal terbabit lalu melaporkan insiden itu ke balai polis terdekat.
“Bertindak atas maklumat, polis operasi menjejaki suspek dan akhirnya dapat mengesan seorang lelaki berusia 20an dalam keadaan mencurigakan di sekitar Kampung Air, di sini kira-kira jam 8 malam pada hari yang sama.
“Suspek berjaya ditahan polis namun demikian barangan milik mangsa gagal ditemui,” katanya sambil menambah, suspek berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

No comments :

Post a Comment